Benarkah “bonding time” akan menenangkan bayi?

 

Selama 9 bulan bayi duduk dengan tenang dan selesa di dalam rahim ibu. Sambil badannya terapung, melentok liuk dan ia pegang apa saja yang ada di dalam rahim ibu. Bermain dengan tali pusat sendiri adalah satu kewajipan setiap hari. Menghisap ibu jari kaki adalah kegemarannya. Setiap hari bayi belajar kenali anggota dirinya sendiri.

Namun, bila bayi lahir sahaja ke dunia ini, ianya sentiasa dalam keadaan cemas. Keadaan yang bising, panas dan sejuk, lapar dan kembung, serta asyik berbaring tiada upaya untuk bergerak. Banyak perkara terjadi sekaligus dan ianya sungguh menakutkan. Bayi akan menangis hiba dalam kesedihan dan kesepian. Ketika inilah, hanya satu sahaja yang akan menenangkan bayi.

“Bonding time” bersama ibu dan ayah. Bayi akan rasa selamat dilindungi oleh ibu dan ayah. Malah bayi akan rasa lebih yakin untuk belajar memahami apa yang berlaku di sekitarnya.

 

Demikian adalah beberapa cara untuk eratkan “bonding time” antara bayi dan ibu bapanya.

 

1. Sentuhan kulit ke kulit

 

Letakkan bayi anda tanpa baju di atas dada atau perut. Sebaiknya sentuhan ini terus ke kulit anda tanpa alas. Dengupan jantung ibu akan mententeramkan bayi. Ini kerana bayi sentiasa mendengar dengupan jantung ibunya dari dalam perut lagi.

Malah sentuhan kulit ke kulit akan meransang rembesan hormon gembira pada bayi dan ibu. Malah untuk merangsang pengeluaran susu ibu, sentuhan kulit ke kulit ni sangat digalakkan dibuat selalu.

2. Urutan ketika mandi

 

Semasa anda mandikan bayi, anda boleh mengurut bayi anda secara lembut di tapak kaki, bahagian belakang, dada, kepala serta tangan. Gunakan urutan yang membulat di atas permukaan kulit. Anda boleh guna syampu sebagai pengganti minyak. 

Bayi akan tenang ketika mandi dan akan lebih percayakan anda. Malah urutan ketika mandi akan menguatkan otot bayi dan merangsang peredaran darah bayi lebih efisien.

Mengusap dan mengurut kepala bayi ketika mandi akan merangsang pertumbuhan rambut lebih lebat dan sihat. Malah ianya juga akan sebabkn bayi lebih aman dan mudah tidur nyenyak selepas urutan di kepala.

3. Bercakap-cakap dengan bayi anda

 

Sejak dari dalam perut lagi, bayi kenal akan suara ibu dan ayahnya. Jadi, biasakan bercakap dengan bayi sentiasa. Walaupun seakan anda bercakap seorang diri. Ini kerana bayi kenal suara ibu ayahnya. Maka bila sentiasa mendengar suara ibu ayahnya, bayi rasa dilindungi dan disayangi. 

 

Anda boleh menyanyi kan lagu kepada bayi anda ketika nak tidur. Atau pun bermain Ciku Cak dengan bayi anda supaya bayi anda tergelak dan tersenyum.

 

Malah ibu bapa yang sentiasa bercakap dengan bayinya dengan pelbagai jenis perkataan berbeza setiap hari akan merangsang perkembangan kognitif bayi. Jadi anda akan dapat dua perkara sekaligus iaitu “bonding time” dan bayi yang pintar. 

4. Pelukan dan ciuman

 

Sentiasa memeluk bayi anda dan menciumnya akan berikan keyakinan pada bayi anda yang anda akan melindunginya sentiasa. Malah bayi kenal akan bau badan anda. Maka bayi akan tenang dan damai dalam pelukan ibu dan bapanya kerana dia yakin dia dalam zon selamat.

Sentiasa ucapkan rasa sayang, rindu dan pujian pada bayi ketika menciumnya. Ini akan sebarkan getaran positif pada bayi dan membuatkan bayi riang gembira.

Bayi perlukan masa untuk memahami dunia ini. Oleh itu, bayi perlukan anda sebagai ibu bapanya yang akan menunjukkan jalan yang selamat dilalui. 

“Bonding time” ini bukan sahaja baik untuk bayi, ianya bagus untuk kita juga. Sebagai pengerat kasih sayang yang telah terbina.